SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap siaga menggerakkan 41 buah bot dengan kekuatan 1,119 anggota bagi menghadapi kecemasan termasuk risiko banjir semasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Abdul Khair Osman berkata, tahap siap siaga itu disifatkan beliau berada pada tahap 100 peratus termasuk di 123 kawasan hotspot yang telah dikenal pasti di seluruh negeri ini.
“Berdasarkan keadaan semasa di Negeri Sembilan ada trend peningkatan risiko banjir dan berdasarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) fasa peralihan monsun telah bermula pada 24 September,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan Oktober 2024 JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Abdul Khair berkata, pihak JBPM Negeri Sembilan juga telah menubuhkan dua pasukan Red Team melibatkan 10 anggota yang boleh digerakkan pada bila-bila masa malah ke negeri-negeri lain untuk memberikan bantuan kecemasan.
Sementara itu, Abdul Khair memaklumkan, antara kawasan hotspot kerap berlaku banjir termasuk di Kampung Ulu Temiang, Kampung Batu 3, Mambau di Seremban serta Kampung Jimah dan Pekan Linggi di Port Dickson. – https://amiminerals.org/