JOHOR BAHRU – Seramai 105 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Johor di sebuah penempatan pekerja tapak pembinaan di Masai di sini, awal pagi hari ini.
Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi ambang tahun baharu dilakukan kira-kira pukul 1.15 pagi.
Menurutnya, operasi dijalankan sebagai strategi pihaknya menangani isu kewujudan warga asing yang melanggar akta dan peraturan imigresen.
“Dalam operasi tersebut, seramai 454 warga asing dan warga tempatan diperiksa dan 105 individu telah ditahan.
“Kesemua mereka yang ditahan adalah 20 lelaki dan empat wanita Indonesia, 16 lelaki Myanmar, seorang lelaki Pakistan dan 64 lelaki Bangladesh berusia antara 20 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Rusdi berkata, kesemua mereka yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, tahanan warga asing tempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk siasatan dan tindakan lanjut. – https://amiminerals.org/