10 wakil pesawah tetap ke PMO, serah memorandum dengan kawalan polis

PMO

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – 10 wakil pesawah daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia tetap akan menyerahkan memorandum bagi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaikkan lantai harga padi di Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad berkata, penyerahan memorandum dibuat oleh wakil negeri itu dilaksanakan dengan kawalan polis.

“Kami berasa kesal kerana maklumat berkenaan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto tidak dimaklumkan awal kepada pihak kami oleh PMO dan polis.

“Sedangkan urusan surat menyurat dan makluman berkenaan kunjungan pesawah telah lama dihantar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hari ini, lebih 1,000 pesawah dijangka berkumpul di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum berkaitan permintaan menaikkan harga lantai padi serta permohonan agar kerajaan tidak meluluskan Rang Undang-Undang Benih Tanaman.

Katanya, kumpulan pesawah tidak datang untuk membuat huru hara lebih-lebih lagi ketika kedatangan tetamu negara di Putrajaya.

“Oleh itu, lokasi kunjungan dan sidang media pesawag diubah ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada tarikh dan waktu yang sama,” katanya.

Semalam, Anwar menasihatkan golongan pesawah yang ingin menyerahkan memorandum kepadanya agar memberikan dokumen itu pada waktu yang lebih sesuai.

Anwar berkata, ia berikutan lawatan rasmi Prabowo ke negara ini yang dibuat atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan acara itu merupakan urusan penting.

“Jika nak berurusan tetapkan masa yang sesuai, tetapi saya tidak setuju sama sekali untuk diadakan perhimpunan mengganggu perjalanan dan urusan lawatan rasmi negara Presiden Indonesia,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar menghormati protokol dan majlis negara sahabat dengan menegaskan Polis Diraja Malaysia akan membantu mengawal keadaan. – https://amiminerals.org/