KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Iteenews) — Zhuhai CosMX Battery Co Ltd (Zhuhai CosMX) dari China, pembuat global bagi bateri litium-ion pengguna dan bateri litium-ion berkuasa, mengumumkan akan melabur RM1 bilion untuk membina kilang pembuatan pertama di Kedah.
Dalam kenyataan bersamadengan Zhuhai CosMX dan InvestKedah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjelaskan pembinaan kilang baharu di bawah Unimx Technology Malaysia Sdn Bhd itu akan dilaksanakan secara berfasa di Taman Perindustarian Kulim Timur, dengan kerja-kerja pecah tanah dijangka bermula pada suku terakhir 2024.
“Pelaburan besar RM1 bilion ini menandakan pencapaian penting dalam strategi pengembangan global syarikat untuk meningkatkan keupayaan pembuatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen bateri litium-ion di seluruh dunia,” menurut MIDA.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek itu dijangka mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan selain meningkatkan tenaga kerja mahir dan keupayaan teknologi negara.
“Merevolusikan teknologi bateri bukanlah tugas yang mudah namun, MIDA berbangga dapat menyokong dan memudah cara Zhuhai CosMX dalam usahanya.
“Kepakaran canggih mereka akan memberikan manfaat besar kepada ekosistem tempatan kita. Sebagai rakan, kita komited menyediakan sokongan dan kemudahan yang diperlukan Zhuhai ÇosMX untuk kejayaan projek ini,” katanya.
Beliau berkata MIDA yakin kehadiran syarikat ituakan memberi kesan positif kepada ekonomi dan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Zhuhai CosMX Xu Yanming berkata pelaburan untuk membina kilang bateri litium-ion di Malaysia menandakan langkah penting dalam penempatan strategik global syarikat.
Langkah itu juga sebagai bukti pengiktirafan dan kepercayaan pihaknya terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan, katanya.