Oleh Harizah Hanim Mohamed dan Mikhail Raj Abdullah
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Iteenews) — Kepakaran Malaysia dalam aspek pensijilan halal terbukti berharga dalam menggerakkan sektor halal Vietnam, sejajarhasrat Hanoi mengeksport produk pertaniannya menembusi pasaran 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Individu bertanggungjawab memacu langkah eksport halal Vietnam merangkumi pelbagai produk pertanian, akuakultur, farmaseutikal dan kosmetik adalah rakyat Malaysia, Ramlan Osman selaku pengarah Pihak Berkuasa Pensijilan Halal Vietnam (HALCERT) yang baru ditubuhkan.
Vietnam telah menubuhkan HALCERT di bawah Kementerian Sains dan Teknologi pada April lepas dengan matlamat bagi menyeragamkan serta menguatkuasakan standard halal.
Bercakap kepada Iteenews, Ramlan berkata antara produk Vietnam yang menonjol dan larisadalah kopi dalam bentuk biji kopi hijau (belum dipanggang dan mentah), serbuk kopi asli sertabiji kopi dipanggang.
“Jika memperoleh sijil dan cara proses menepati piawaian halal, produk-produk ini mempunyai potensi untuk menembusi pasaran OIC yang mempunyai penduduk berjumlah 2.01 bilion orang,” katanya.
Strategi Vietnam juga di landasan tepatmemandangkan pasaran makanan halal dijangka berkembang kepadaUS$4.5 trilion menjelang 2030 daripada US$2.4 trllion pada 2024, didorong oleh peningkatan bilangan penduduk dan perbelanjaan penggunaMuslim.
Menjelaskan selanjutnya, Ramlan berkata pihaknya turut bekerjasama erat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membolehkan Vietnam menerapkan piawaianhalal dalam proses pengeluaran makanan, pembuatan serta bidang seperti logistik.
Pensijilan halal merupakan proses ketat bagi memastikanproduk serta bahan ramuannya menepati garis panduan pemakanan Islam dan memastikan produk terbabit, termasuk kopi, pastri dan bahan kandungan lain dihasilkan menerusi proses bersih dan selamat dimakan oleh pengguna Muslim.