Uzma Bhd Berjaya Lancar Satelit Pemerhatian Bumi Resolusi Imej Tinggi

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI Mohammad Fadhli Jamaluddin ketika menyampaikan taklimat pada Majlis Pelancaran UZMA SAT-1 di Menara Uzma hari ini.

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Iteenews) — Uzma Berhad mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melancarkan satelit pemerhatian bumi pertama miliknyaUZMA SAT-1pada 3.09 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikatmenggunakan roket Falcon 9 milik SpaceX.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI Mohammad Fadhli Jamaluddin berkataUZMA SAT-1 yang kini berada di orbit rendah bumi pada ketinggian sekitar 500 kilometer adalah satelit yang dapat menghasilkan imej beresolusi tinggi dengan kemampuan resolusi ruang 50 hingga 70 sentimeter yang mampu mengesan objek kecil seperti kenderaan dengan jelas.

“Satelit itu sebahagian daripada 25 satelit milik rakan teknologi Uzma, Satellogic, membolehkan pemerhatian dilakukan hingga lima kali sehari di lokasi yang sama,” katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran UZMA SAT-1 di Menara Uzma di sini hari ini.

Beliau berkata satelit itu dilengkapi kamera berteknologi tinggi dengan sensor multi-spectral band, termasuk sensor RGB (merah, hijau, biru) dan inframerah dekat yang mampu memberikan data terperinci untuk pelbagai kegunaan.

“Sensor RGB memberikan imej yang boleh dilihat dengan mata kasarmanakala sensor inframerah dapat mengesan elemen seperti klorofil tumbuhan dan kelembapan tanah yang tidak dapat dilihat secara langsung,” katanya.

Fadhli berkata UZMA SAT-1 direka dengan keupayaan untuk menyokong pelbagai sektor di Malaysia termasuk pertanian, perladangan, pengurusan bencana, dan pemantauan alam sekitar.

“Bagi industri pertanian padi, satelit ini mampu memantau kesuburan tanaman, kita dapat lihat tanaman segar atau berpenyakit dan sebagainya. Teknologi ini juga membolehkan petani meramal hasil tanaman seperti padi dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata satelit itu juga turut digunakan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membantu syarikat-syarikat perladangan sawit memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan (Sustainability Palm Oil Certification)yang berpotensi meningkatkan premium penjualan sawit.

Selain sektor pertanian dan perladangan, beliau berkata satelit itu juga dapat menyediakan gambaran jelas mengenai kawasan terjejas akibat banjir seperti membantu pihak berkuasa mengenal pasti laluan yang tidak boleh dilalui dan menentukan lokasi sesuai untuk pusat pemindahan banjir.