KUALA LUMPUR, 27 Feb (Iteenews) — Keuntungan bersih penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bersepadu IHH Healthcare Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 menyusut kepada RM2.66 bilion daripada RM2.95 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, perolehan bagi tahun dalam tinjauan meningkat kepada RM24.38 bilion berbanding RM29.93 bilion berikutan pertumbuhan berterusan bagi jumlah pesakit dan kekukuhan perolehan di seluruh pasaran, masing-masing meningkat 16 peratus dan 17 peratus berbanding tahun kewangan 2023.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IHH berkata ia mengekalkan lembaran imbangan yang kukuh, dengan tunai bersih yang dijanadaripada aktiviti operasi sebanyak RM3.1 bilion dan hutang bersih pada 0.39 kali.
IHH turut mengisytiharkan dividen tunai kedua dan akhir sebanyak 5.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen biasa untuk tahun kewangan 2024 sebanyak 10.0 sen sesaham (dividen tunai interim 4.5 sen sesaham dibayar pada Oktober 2024) berbanding 9.0 sen sesaham pada tahun kewangan 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Dr Prem Kumar Nair berkata kumpulan itu kekal berada dalam trajektori positif dan mantap serta pada masa sama melaksanakan strategi pertumbuhan, termasuk menambah hampir 4,000 katil menjelang 2028.
“Sepanjang tahun ini, kami menambah hampir 1,000 katil dan akan meneruskan pertumbuhan kapasiti kami pada tahun-tahun akan datang.
“Kami melabur dari segi menaik taraf dan memperkukuh persediaan masa depan hospital misalnya di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, dengan kerja-kerja pengubahsuaian dijangka selesai lebih awal mengikut jadual pada suku ketiga 2025,” katanya.
Pada masa depan, Prem berkata IHH akan meneruskan usaha penjagaan kesihatan yang bernilai tinggi dan berkesan dari segi kos kepada pesakit dengan menambah baik hasil klinikal dan pengalaman pesakit.
Beliau berkata trend menggalakkan di pasaran utama memberikan dorongan yang kukuh kepada pertumbuhan berterusan kumpulan ini.