UNIT GAGASAN NADI CERGAS METERAI DRA PROJEK DENGAN NPK LEBIH RM1 BILION

6712e51cdd721adbc318ecf019c030146756da7d12b9cDatuk Wan Azman Wan Kamal

 

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Iteenews) — Unit Gagasan Nadi Cergas Bhd, Nadi Emery (KKD2) Sdn Bhd (NESB), menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan (DRA) dengan Kwasa Development (15) Sdn Bhd (KD15) bagi pembangunan projek rumah mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (NPK) lebih RM1 bilion.

KD15, anak syarikat Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) memeterai perjanjian itu untuk melaksanakan projek perumahan dalam kawasan perbandaran Kwasa Damansara, dan Kwasa Land akan berperanan sebagai pemaju induk projek tersebut.

\”Berdasarkan DRA itu, NESB perlu membayar KD15 sejumlah RM35.6 juta bagi hak pembangunan untuk mereka bentuk dan membina 4,183 unit rumah mampu milik di atas tanah seluas 14.12 hektar,\” menurut Gagasan Nadi Cergas dalam kenyataan hari ini.

Projek itu merupakan kerjasama kedua Gagasan Nadi Cergas dengan Kwasa Land, selepas pecah tanah bagi satu lagi projek 1,669 unit rumah mampu milik di Plot R4-1 di Kwasa Damansara tahun lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata DRA itu menandakan kesinambungan perkongsian pihaknya dengan Kwasa Land.

Beliau berkata kedua-dua pihak bekerjasama untuk memastikan bekalan rumah mampu milik mencukupi di Malaysia, terutama di Selangor, memandangkan penduduknya semakin pantas berkembang seiring dengan ekonomi negeri yang kukuh.

Gagasan Nadi Cergas akan membiayai keseluruhan pembangunan melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.

Syarikat itu juga sedang membangunkan kira-kira 6,000 unit rumah mampu milik Rumah Idaman di Bukit Jelutong dan Kwasa Damansara, serta lebih 1,000 unit rumah mampu milik Idaman Amani di Bandar Elmina.