Mohammad Rizan Hassan R. Neshan Daripada Nursyabiha Sukri
SEREMBAN, 12 Dis (Iteenews) — Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan platform terbaik untuk generasi muda memperoleh kemahiran teknikal yang relevan sekali gus membuka peluang kerjaya lebih kompetitif dan berdaya saing.
Pelaksanaan TVET di Malaysia diterajui oleh 1,398 institusi kemahiran awam merentasi 12 kementerian, institusi kemahiran negeri dan institusi kemahiran swasta yang menawarkan pelbagai program dalam sesuatu bidang.
Selaras dengan permintaan yang semakin tinggi terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi, TVET telah menjadi pilihan utama kerjaya dalam menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi menerusi pelbagai program terutamanya Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT).
Pengasas Projek Belia Mahir Mohammad Rizan Hassan berkata TVET diakui sebagai platform signifikan dan strategik dalam membekalkan belia dengan kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh industri, seterusnya memberikan mereka kelebihan dalam pasaran pekerjaan.
“Pelajar Belia Mahir mengikuti program TVET ini berpeluang mengikuti latihan TVET ke China melalui MCYTT sekiranya memenuhi syarat kelayakan. Sejak 2023, sebanyak 376 pelajar di bawah program ini berjaya memasuki industri di 36 syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk yang diterima bekerja di China.
“Kerjasama ini sejajar dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selaku Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET), yang mahu menjadikan TVET sebagai budaya dan gaya hidup, khususnya dalam kalangan generasi muda,\” katanya kepada Iteenews ketika ditemui di Pusat Pembangunan Belia Berkemahiran, Rasah Jaya, di sini.
Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) di bawah program MYCTT itu turut membuka laluan pendidikan dan latihan TVET percuma di China sebagai sokongan kepada Malaysia dalam membangunkan bakat mahir tempatan.
Sebanyak 220 syarikat China menawarkan 5,125 kuota kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan TVET bagi jangka pendek, sederhana dan panjang sekali gus menjadi game changer dalam melonjakkan industri TVET di Malaysia. Kerajaan menyasarkan untuk menghantar lebih 5,000 pelajar TVET ke negara itu menjelang 2025.
Inisiatif ini jelas menunjukkan TVET menerapkan kepelbagaian set kemahiran khusus untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang kompeten berasaskan teknologi berkualiti serta memenuhi permintaan dalam pelbagai sektor industri seterusnya menawarkan pendapatan lumayan dan membentuk masa depan lebih baik.