Trend Perbelanjaan Raya: Pengguna Lebih Berhati-hati Di Sebalik Ekonomi, Pasaran Buruh Yang Stabil

7106104f49d96f2737970a6bc350dc4e67e8ba1434ace

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 30 Mac(Iteenews) — Ketidaktentuan ekonomi semasa memberi kesan terhadap pola perbelanjaan rakyat Malaysia dalam musim perayaan, dengan pengguna cenderung lebih berhati-hati meskipun keadaan ekonomi negara berada dalam landasan yang baik.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan stabil pada kadar 5.1 peratus dengan pasaran buruh berada dalam keadaan guna tenaga penuh.

"Ini bermaksud ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan menerima pendapatan tetap. Kerajaan juga melaksanakan pelbagai dasar seperti kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 serta pemberian bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang ditingkatkan peruntukannya," katanya kepada Iteenews.

Bagaimanapun, beliau berkatapertumbuhan perbelanjaan pengguna atau perbelanjaan swasta masih di bawah paras purata.

Bank Negara Malaysia baru-baru ini telah menyasarkan pertumbuhan perbelanjaan swasta pada kadar 5.6 peratus tahun ini, sedikit meningkat daripada 5.1 peratus tahun lalu tetapi masih di bawah purata 7.1 peratus yang direkodkan dalam tempoh 2011 hingga 2019 sebelum pandemik COVID-19.

“Meskipun terdapat peningkatan, pengguna dilihat lebih berhati-hati dalam berbelanja, mungkin disebabkan sentimen ketidaktentuan serta kos sara hidup yang kekal tinggi,” katanya.

Beliau turut berkongsi pemerhatian bahawa ramai pengunjung bazar Ramadan sekadar melihat-lihat tanpa melakukan pembelian yang signifikan, mencerminkan trend pengurangan urus niagaberbanding tahun-tahun sebelumnya.