Tragedi Gajah Serlah Peranan Sukarelawan Peronda Di JRTB

Kredit : Mohd Amir Faizal

Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

IPOH, 19 Mei (Iteenews) –Sejak berita mengenai ibu gajah meratapi anaknya yang mati dilanggar lori kontena di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) 11 Mei lepas, Mohd Amir Faizal mula dikenali netizen di media sosial.

Mohd Amir, 47, adalah antara anggota Sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team yang terlibat membantu pihak berkuasa dalam operasi memindah ibu haiwan itudan telah dua tahun menjalankan kerja-kerja sukarelawan membantu pengguna JRTB.

Peniaga itu banyak berkongsi maklumat mengenai gajah dan nasihat kepada pengguna JRTB demi menjamin keselamatan pengguna laluan berkenaansupayatidak menjadi mangsa mamalia terbesar itu.

Selain bertindak membantu menghalau gajah sepanjang melakukan rondaan, antara bantuan lain yang dihulurkan melibatkan kerosakan kenderaan, kemalangan dan bencana kepada pengguna yang menggunakan laluan sejauh 123 kilometer (KM) menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak itu.

“Kenangan paling saya tak boleh lupa setakat ini terjadi pada tahun lepas,ketika bersama-sama orang awam menyelamatkan seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan di satu selekoh dalam laluan JRTB ini.

“Setelah mengeluarkan wanita itu daripada kereta yang dipandu, tiba-tiba keluar seekor gajah jantan dari hutan berhampiran insiden berlaku. Mujurlah kami sempat bawa wanita itu masuk ke dalam sebuah daripada kenderaan,” katanya ketika dihubungi Iteenews.

Berkongsi kisah kerja amal dilakukan bapa kepada empat cahaya mata itu berkata rondaan dilakukan sekurang-kurangnya 15 kali dalam sebulan bergantung kepada kelapangan serta aduan yang diterima sama ada secara terus melalui panggilan telefon atau platform media sosial.

Mohd Amir berkata lazimya beliau akan bertolak dari kediamannya di Bandar Seri Astana, Sungai Petani sekitar 10 pagi dan akan tiba di Batu Melintang, Jeli kira-kira 1 tengah hari, sebelum berpatah balik ke rumah dengan jarak keseluruhan perjalanan kira-kira 400 kilometer.