Kredit : Nurnabihah Dini Kassim
KUALA LUMPUR, 11 Dis (Iteenews) — Meskipun baru disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini, TP Tec Holding Bhd berhasrat untuk memasuki Pasaran ACE dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang
Penyedia penyelesaian kuasa dan peralatan ini menjangka pertumbuhan perolehan tahunan dua angka syarikat akan berterusan, didorong oleh pelaksanaan 5G yang dipercepat di Malaysia dan pengembangan pesat pusat data di negara ini.
Pengarah Urusannya Lau Poh Keong berkata syarikat itu turut mengunjurkan prestasi syarikat akan dipertingkatkan lagi menerusi rancangan untuk memasuki Pasaran ACE dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
\”Menerusi kontrak semasa kami bernilai RM110 juta dan kontrak belum dimasuk kira berjumlah RM77.06 juta, kami berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan ini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
\”Prestasi teguh kami mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kami, terutama dalam sektor seperti telekomunikasi dan pembinaan,\” katanya kepada pemberita pada majlis penyenaraian itu di Pasaran LEAP hari ini.
Beliau berkata 80 peratus daripada perolehan syarikat itu pada masa ini disumbangkan oleh sektor telekomunikasi manakala baki 20 peratus lagi diperoleh daripada sektor pembinaan.
\”Kami menyasarkan untuk menembusi pasaran pusat data dengan lebih terperinci memandangkan sektor ini semakin mendapat tumpuan terutama di bahagian selatan Malaysia.
“Walaupun kami menjangka pertumbuhan perolehan yang menyeluruh, peratusan sumbangan daripada setiap sektor dijangka kekal stabil buat masa ini,” katanya.
Syarikat itu mula disenaraikan dengan premium 3.0 sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 10 sen, dengan 5,000 saham didagangkan.