Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
TOKYO, 25 Sept (Iteenews) — Tokyo Game Show (TGS) 2024 akan bermula esok, 26-29 Sept, di Makuhari Messe,Chiba, Jepun, menandakan 28 tahun sejak dilancarkan pada 1996.
Bertemakan 'Trailblaze the World of Gaming', TGS 2024 akan menampilkan 10 penerajuindustri permainan Malaysia iaitu Adticles, Ammobox Studios, Bear Down Studios, Dreamscapes Edtech, Esolved MSC, Goolee, Magnus Games Studio, Rcade Studio, Why Knot dan Todak Studios.
Syarikat itu akan bernaung di bawah Pavilion Malaysia, yang diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan matlamat untuk mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam arena permainan global.
Ketua Transformasi MDEC Datuk Fadzli Abdul Wahit berkata sebagai agensi pembangunan di bawah Kementerian Digital, MDEC telah terlibat secara aktif dalam TGS sejak lapan tahun lalu.
“Impak yang kami alami daripada acara ini secara konsisten adalah amat positif.
“Bagi acara tahun ini, kami terus bekerjasama rapat dengan semua pemain industri. (untuk perjalanan ini) kami telah terlibat dengan syarikat besar seperti JP Games, Shueisha Games, Konami dan banyak lagi,” katanya kepada Iteenews.
Fadzli berkata MATRADE dan MDEC telah mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat permainan utama mengenai potensi kerjasama serta perkongsian yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Saya percaya pendedahan antarabangsa yang diberikan kepada syarikat tempatan di TGS 2024 akan membolehkan mereka bekerjasama dalam pelaburan, meneroka peluang baharu serta meningkatkan teknologi mereka, akhirnya mewujudkan situasi menang-menang untuk firma tempatan dan global,” katanya.