TM Peruntuk RM4 Juta Bagi Bantuan, Usaha Pemulihan Banjir

60ad0d9b1481ee118c82cc6b12b755525e7b4973d0246

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Iteenews) –TM memperuntukkan kira-kira RM4 juta termasuk sumbangan tunai untuk menyokong usaha segera bantuan banjir bagi pelanggan, komuniti dan kakitangan yang terjejas di seluruh negara.

Syarikat telekomunikasi dan teknologi bersepadu terkemuka Malaysia itu turut menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan tiada gangguan komunikasi kepada mangsa banjir dan pentadbiran PPS.

Pada masa sama, pasukan pemulihan rangkaian TM bekerja keras untuk membaik pulih perkhidmatan pelanggan yang terjejas akibat banjir monsun baru-baru ini terutamanya di wilayah Pantai Timur.

“Ini melibatkan usaha segera untuk mengubah hala rangkaian komunikasi bagi infrastruktur utama yang telah terjejas akibat banjir bagi meminimumkan gangguan perkhidmatan untuk kerajaan, perusahaan, perniagaan dan juga pengguna,” menurut TM dalam kenyataan pada Rabu.

TM menjelaskan pihaknya memahami cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir justeru, bagi meringankan kesulitan mereka, TM komited menyediakan sokongan tambahan kepada pelanggan Unifi Home yang terjejas.

“Usaha itu termasuk penggantian secara percuma peralatan premis pelanggan (CPE) dan komponen rangkaian yang rosak, rebat langganan selama sebulan untuk pelanggan yang terkesan, dan lanjutan terma kredit selama 60 hari tanpa penggantungan perkhidmatan,” tambah TM.

Menerusi Yayasan TM (YTM), TM telah menggerakkan bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas lain dengan sokongan rakan impak sosial.

TM memaklumkan sebagai Sekretariat Bersama dan ahli GLC/GLIC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), YTM telah membantu lebih 18,400 individu melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Bantu MOF-GDRN, untuk menyokong komuniti yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Amar Huzaimi Md Deris berkata selain membaik pulih ketersambungan, fokus TM adalah menyediakan bantuan bermakna kepada mereka yang terjejas, memastikan mereka dapat membina semula kehidupan dengan lebih berdaya tahan.