Gambar ihsan Encik Kashif Ansari
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Iteenews) — Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa,Juwai IQI berharap kerajaan akan mengutamakan pembangunan perumahan baharu dan menambah baik persekitaran di kawasan perumahan mampu milik dalam Belanjawan 2025 akan datang.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Kashif Ansari berkata penambahbaikan dalam kualiti hidup merangkumi pemasangan lampu jalan baharu, membina taman-taman sukandan mengubah suai rumah-rumah usang.
“Kami mencadangkan kerajaan untuk membantu mengurangkan kos yang menyebabkan perumahan menjadi begitu mahal. Sebagai contoh, pemaju yang menyediakan perumahan yang berkualiti serta mampu milik sewajarnya menerima subsidi untuk bahan binaan.
“Kos-kos ini menokok sebanyak tiga hingga empat peratus setahun, ianya sangat tinggi, walaupun lebih rendah berbanding semasa kemuncak pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pembiayaan turut menjadi cabaran utama kepada projek rumah mampu milik baharu, kata Kashif, sambil mengulas jika pemaju tidak dapat memperoleh pembiayaan pada kadar yang mampan, projek perumahan baharu tidak relevan untuk diteruskan.
Beliau mencadangkan kerajaan atau bank menawarkan pembiayaan pembangunan berdiskaun, khusus yang membabitkan projek rumah mampu milik bagi membolehkan lebih ramai keluarga mendapatkan kediaman.
Kashif juga mencadangkan agar pihak industri dan kerajaan bekerjasama untukmembentuk konsorsium pembelian bagi mengurangkan kos bahan melalui skala ekonomi.
“Ini akan melibatkan pengumpulan permintaan merentas beberapa pemaju untuk membeli bahan dalam kuantiti yang agak besar. Ini akan membolehkan mereka merundingkan harga yang lebih baik.
"Di pasaran lain, pendekatan ini telah mengurangkan kos bahan sehingga 30 peratus,"katanya.