TINGKAT DAYA SAING EKSPORT KE AS MENERUSI FTA LAIN – MITI

1fed35a4c631bd0b0e513c483be3ff6a67570b2ec634d

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Iteenews) — Syarikat-syarikat pembekal tempatan mampu meningkatkan daya saing eksport melalui peluang perniagaan dengan rakan-rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia lain bagi urus niaga membabitkan Amerika Syarikat (AS).

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata sejajar dengan visi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), syarikat-syarikat Malaysia juga disaran meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai industri dengan meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D). 

“(Langkah) menerusi kolaboratif dengan pemain industri utama, khususnya dari AS, ini mampu meningkatkan keupayaan industri tempatan dalam inovasi mikrocip serta membangun teknologi baru dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan (teknologi) 5G yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran global,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Dr A. Lingeshwaran mengenai impak yang bakal dapat dimanfaatkan oleh negara susulan kejayaan Donald Trump memenangi pilihan raya Presiden AS. 

MITI berkata bermula 2025, Trump telah menyatakan hasrat untuk mengenakan tarif baharu sehingga 25 peratus ke atas barangan diimport dari Mexico dan Kanada manakala tarif tambahan sebanyak 10 peratus bagi semua barangan diimport dari China. 

Malaysia juga sepertimana negara-negara lain, berkemungkinan mengalami perubahan pola perdagangan berdasarkan peralihan rangkaian bekalan global. 

Dalam pada itu, MITI berkata kerajaan yakin bahawa ketegasan Malaysia sebagai negara yang berkecuali, juga mampu mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-AS secara menyeluruh. 

“Menerusi cara ini, AS akan memberi galakan kepada syarikat-syarikat miliknya untuk terus melabur di negara ini sebagai langkah pengurangan risiko terhadap ketegangan geopolitik yang berlaku. 

“Ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia kekal positif, didorong oleh asas kukuh melalui penerapan arah aliran global yang sangat menggalakkan,” katanya.