TIDAK AMBIL GAJI DAN ELAUN, BUKTI KOMITMEN RAMANAN DEMI WARGA SUNGAI BULOH

Datuk Seri R Ramanan

PUTRAJAYA, 12 Dis (Iteenews) — Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R. Ramanan menegaskan tindakannya tidak mengambil gaji dan elaun sebagai wakil rakyat di kawasan itu adalah satu komitmen yang serius seperti yang dijanjikannya semasa bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lepas.

Ramanan menjadi tumpuan umum selepas menyingkirkan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dalam pertarungan yang dianggap cukup sengit pada pilihan raya itu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata aku janji yang ditandatanganinya pada PRU15 lepas, masih teguh dipegang olehnya dan gaji serta elaun yang sepatutnya diterima disalurkan ke rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil serta gereja, selain membantu golongan B40 di kawasan itu.

\”Sejak 2023 PRU yang lepas, setelah memimpin Parlimen Sungai Buloh, jumlah keseluruhan gaji dan elaun sebanyak RM550,000 telah diagihkan kepada lebih 100 rumah ibadah termasuk masjid, surau, kuil dan gereja sekitar Parlimen Sungai Buloh.

\”Saya percaya apabila kita membuat janji, kita perlu menunaikannya. Jadi saya akan terus menunaikannya sepanjang berkhidmat dan jika menang lagi pada PRU seterusnya pun, saya akan terus melakukan perkara sama, walaupun saya banyak kali dimarah, ditegur oleh ahli Parlimen yang lain berhubung tindakan ini.

\”Yang paling utama, saya akan buat perkara ini sepanjang saya berkhidmat. Ini bukan gimik sebab ini adalah satu janji yang saya buat. Kebiasaan, kalau kita buat satu janji, janji itu bukan semua orang boleh tepati,\” katanya dalam temu bual khas bersama media di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Ramanan turut menyatakan komitmen untuk terus membantu rakyat di kawasan tersebut melalui pelbagai inisiatif antaranya Jualan MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas pada potongan harga 50 peratus serta program Back to School yang memberi bantuan peralatan sekolah kepada murid dan pelajar yang layak.

\”Jualan MADANI Parlimen Sungai Buloh merupakan paling murah di negara ini, dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia akan memberikan diskaun sebanyak 30 peratus manakala saya sendiri akan tambah lagi 20 peratus menjadikan 50 peratus.

\”Setakat ini, sambutan terhadap semua program diterima baik. Setiap kali, kita adakan Jualan MADANI contohnya, semua barangan habis, tidak pernah ada baki yang dihantar balik, jadi saya akan teruskan usaha ini untuk memanfaatkan lebih ramai rakyat,\” katanya.