TETAPKAN HAD NISBAH HUTANG ISI RUMAH PADA 65 ATAU 70 PERATUS – SENATOR

a0514e935c865eae77e63da4379a44036756cf19d861fMohd. Hasbie Muda

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Iteenews) — Kerajaan disaran menetapkan had nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) pada 65 peratus atau 70 peratus, kata Senator Mohd Hasbie Muda.

Beliau berkata langkah itu dapat mengurangkan serta mengawal hutang isi rumah sebanyak RM1.57 trilion bagi tempoh sehingga Jun 2024 ini atau 83.8 peratus daripada KDNK.

“Angka ini terus meningkat dari tahun ke tahun dan perlu ada campur tangan kerajaan untuk mengawalnya agar hutang ini tidak terus menimbun.

“Tahap hutang isi rumah kini mencecah hampir 84 peratus, jadi kita harap kerajaan dapat turunkan kepada sekurang-kurangnya 75 peratus,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Negara hari ini.

Selain itu, Mohd Hasbie juga meminta kerajaan untuk segera mempercepat cadangan pelaksanaan Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan dibentang dalam penggal persidangan akan datang. 

Beliau berkata akta itu penting bagi mewajibkan penyedia kredit bukan bank seperti perkhidmatan \”Beli Sekarang Bayar Kemudian\” (BNPL) mematuhi standard kehematan dan garis panduan berkaitan bagi melindungi pengguna kewangan dalam skim berkenaan.

“Ini juga dapat mengurangkan risiko keberhutangan berlebihan terutama dalam kalangan peminjam muda dan berpendapatan rendah.

\”Pada masa sama, ini sekali gus memastikan pertumbuhan paras hutang isi rumah tidak berlebihan dan kekal selaras dengan kemampuan peminjam,” katanya.

— BERNAMA