Tangguh Cadangan Kenaikan Tarif Pelabuhan 30 Peratus – FMM

7c6401ab7b16e05e094349f0ee232342652fa3557a9d9

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Mac(Iteenews) – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memohon supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 30 peratus khususnya untukpengendalian dan penyimpanan kontena.

Ini kerana kenaikan itu akan memberi implikasi besar terhadap kos menjalankan perniagaan untuk pihak pengilang dan syarikat pengangkutan.

Presiden FMMTan Sri Soh Thian Lai berkata Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor (JPA) sedang dalam proses memuktamadkan kenaikan tarif bagi Westports, Northport dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) untuk diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi tujuan pewartaan.

"Dengan Pelabuhan Klang mengendalikan 14 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun, pada tarif pengendalian kontena semasa sebanyak RM300 bagi setiap kontena 20 kaki, cadangan kenaikan 30 peratus akan meningkatkan kos sebanyak RM90 bagi setiap kontena.

"Kenaikan ini akan menyebabkan tambahan kepada kos tahunan sebanyak RM1.26 bilion, yang secara langsung memberi kesan ke atas syarikat pengangkutan dan pengilang yang bergantung kepada pelabuhan untuk import dan eksport," katanya kepada Iteenews apabila dihubungi hari ini.

FMM merupakan pengerusi tetap dan sekretariat Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) sejak 2015.

Soh berkata tarif yang lebih tinggi akan mengurangkan daya saing Malaysia, mengalihkan trafik pengangkutan ke negara jiran yang mengenakan tarif lebih rendah, dan akhirnya menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global.

Kenaikan tarif yang dicadangkan itu juga akan meningkatkan yuran pengendalian kontena di Pelabuhan Klang kepada US$130 setiap TEU daripada US$120 (US$1 = RM4.4185), yang sama atau melebihi tarif pesaing utama seperti Singapura dan Hong Kong.