Sunway Medical Centre Velocity Perkukuh Perkhidmatan Kesihatan

Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) kini sedang menjalani kerja-kerja perkembangan hospital secara berfasa bagi memenuhi keperluan populasi berusia serta penyakit tidak berjangkit (NCD) yang kian meningkat. Susan Cheow, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV berkongsi bahawa selain menambah kapasiti hospital, SMCV sedang meningkatkan kualiti pengalaman pesakit mereka dengan menggabungkan rawatan perubatan terkini dan sokongan holistik untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada komuniti sekeliling. Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV, Dr Wee Tong Ming menyatakan bahawa dengan menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Kemalangan (A&E), SMCV dapat memperkukuh keupayaan hospital mereka untuk memberikan rawatan yang lebih efisien terhadap kes-kes akut seperti serangan strok, serangan jantung dan kes trauma.

KUALA LUMPUR, 22 April (Iteenews) — Sejak penubuhan pada 2019, Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) telah berkembang sebagai sebuah hospital tertier terkemuka di Kuala Lumpur.

Sebagai sebahagian daripada Sunway Healthcare Group (SHG), SMCV terus memperkukuh keupayaannya dalam pelbagai bidang kepakaran dan perkhidmatan perubatan dengan enam Pusat Kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada Jantung dan Paru-paru, Neurosains, Kesihatan Penghadaman, Ortopedik, Kesihatan Wanita serta Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak.

SMCV dalam kenyataan memaklumkan selaras dengan komitmen hospital untuk menyediakan penjagaan kesihatan mudah diakses dan berkualiti tinggi, pihaknya melaksanakan penambahbaikan secara berfasa bagi memenuhi keperluan semakin meningkat daripada populasi warga emas serta beban pertambahan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Ad Banner

“Penambahbaikan ini merangkumi peluasan wad perubatan bagi menambah kapasiti pesakit dalam, Jabatan Kecemasanserta peningkatan perkhidmatan pakar bagi menyokong keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat tempatan dan serantau,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SMCV Susan Cheow berkata dalam tempoh hampir enam tahun ini, SMCV telah mencapai kemajuan ketara dan kekal komited untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu menerusi pelan pengembangan ini.

“Kami turut menambah baik perjalanan pesakit dengan mengintegrasikan rawatan perubatan canggih, kemudahan akses, serta sokongan holistik bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada komuniti,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebagai sebahagian daripada rancangan penambahbaikan hospital, SMCV juga sedang meningkatkan kapasiti wad pesakit dalam kepada 247 katil dengan penambahan sebuah wad perubatan baharu yang mempunyai 18 katil terletak di Aras M, Menara B, betul-betul di atas Jabatan Kecemasan.

Menurut kenyataan itu, wad baharu ini menampilkan reka bentuk moden dengan suasana menenangkan sekali gus menyediakan persekitaran yang selesa dan membantu proses pemulihan pesakit.

“Dengan peningkatan kemasukan pesakit akibat penyakit kronik dan keperluan penjagaan pascaakut, pertambahan kapasiti ini membolehkan SMCV memberikan perkhidmatan kepada lebih banyak individu sambil mengekalkan standard tinggi dalam penjagaan klinikal yang bersifat peribadi,” katanya.