Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah \”Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah\” di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, hari ini.
SHAH ALAM, 25 Nov (Iteenews) –Jabatan Islam Selangor (JAIS) diminta memastikan semua penceramah yang menyampaikan pengajaran Islam terutamanya berkaitan akidah, syariah, pengajaran ilmu tasawuf serta pengamalan tarekat, mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah langkah ini penting bagi mengelakkan individu yang kurang memahami ilmu tersebut atau belajar daripada guru yang tidak berkelayakan menyebarkan fahaman yang tidak tepat kepada masyarakat.
“Beta melihat penyelesaian terhadap isu ini adalahdengan memberi kefahaman yang betul melalui usaha oleh agensi agama atau institusi-institusi yang terlibat dengan pengajaran Islam yang sebenar.
“Beta juga ingin mencadangkan agar diwujudkan panduan, silibus khas atau peraturan khusus mengenai pengamalan tasawuf dan tarekat di negeri Selangor. Beta yakin dengan kefahaman dan amalan yang benar, ia sudah pasti akan memberi impak positif kepada pembangunan sahsiah ummah di negara ini,” titah baginda.
Sultan Selangor bertitah demikian pada majlis Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj “Ilmu Tasawuf Merungkai Masalah Ummah” yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
Titah Sultan Sharafuddin usaha itu seiring dengan hasrat baginda untuk memastikan Selangor dan negara terus berkembang maju dan makmur denganrakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan harmoni, bertolak ansur serta bersatu padu.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menyokong tindakan proaktif pihak berkuasa agama mewujudkan undang-undang, pewartaan fatwa, enakmen dan panduan ajaran tasawuf serta tarekat di Selangor.
Baginda jugamahu tindakan penguatkuasaan terus ditingkatkan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi sesat yang akan mencemar nama baik Islam di negara ini, khususnya Selangor.
Pada masa yang sama,Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat dukacita apabila ada umat Islam yang tidak mempunyai kepakaran berkaitan hukum syarak mempersoal dan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.