Kredit: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Kredit: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Kredit: Dr Geoffrey Williams
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Iteenews) — Perjanjian jual beli (SPA) ditandatangani Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah sejajar dengan strategi pelaburan semula jangka masa panjangnya, menekankan peningkatan pulangan dan memastikan pertumbuhan kewangan yang mampan, kata pakar ekonomi Prof Dr Geoffrey Williams.
Beliau berkata perjanjian itu, yang akan menjana dana daripada aset warisan, dilihat sebagai bahagian penting dalam komitmen LTAT untuk memperkukuh kapasiti pelaburan masa depan.
“Tumpuan utama strategi pelaburan semula adalah kepada sektor farmaseutikal dan biofarmaseutikal, dipacu oleh program GEAR-uP kerajaan, yang menggalakkan peralihan strategik dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), termasuk LTAT.
“Dana yang diperlukan untuk LTAT mengalihkan fokusnya ke arah peluang pelaburan berpendapatan tinggi khususnya dalam sektor nilai tambah seperti farmaseutikal disediakan menerusi langkah SPA ini. Ini sejajar dengan matlamat LTAT untuk menyokong persaraan perkhidmatan anggota tentera dalam jangka masa panjang” katanya kepada Iteenews.
Williams berkata pencarum LTAT dijangka meraih manfaat daripada langkah itu melalui pendapatan pelaburan yang lebih tinggi, yang akan membantu mengembangkan saiz dana dan memenuhi obligasi persaraan masa depan dengan lebih terjamin.
“Ini amat penting kerana pesara perlu menyesuaikan dengan peningkatan kos sara hidup dan indikator gaji.
“Pada masa yang sama, peranan berterusan LTAT sebagai pemegang saham utama dalam Boustead Holdings Bhd dijangka memperkukuh kedudukan pasaran syarikat itu,” katanya.
Pakar ekonomi itu berkata LTAT kini sedang menyusun semula Boustead Holdings dengan meneliti aset bukan teras dan mengurangkan unit berprestasi rendah, langkah yang bertujuan meningkatkan daya saing kumpulan itu.