STR, BKKA Bantu Meriahkan Persiapan Aidilfitri Penerima

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Iteenews) — Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Dua dan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada penjawat awam dimanfaatkan sebaiknya bagi menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Bantuan kewangan itu antaranya digunakan bagi mendapatkan barangan keperluan memasak juadah hari raya, membeli biskut untuk hidangan tetamu selain menampung perjalanan pulang ke kampung halaman.

Warden trafik di Pasar Dato Keramat di sini, Mohd Azlan Ahmad, 61, berkata STR dapat mengurangkan beban perbelanjaan persiapan hari raya terutama bagi membeli barangan basah seperti ayam dan daging untuk juadah keluarganya di pagi Syawal.

“Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan akan berikan kepada isteri untuk membuat persiapan raya untuk keluarga,” katanya ketika ditemui Iteenews.

Seorang lagi penerima STR, Hisham Rahim, 28, berkata wang berkenaan akan digunakan bagi membeli kuih dan biskut raya untuk dihidangkan kepada tetamu pada Syawal ini.

“Kami belum berkesempatan membeli biskut dan kuih raya kerana menunggu gaji, tetapi dengan pembayaran STR, bolehlah saya beli kuih raya ini,” katanya.

Ad Banner

Kerajaan akan menyalurkan STR Fasa Dua mulai hari ini melibatkan peruntukan berjumlah RM1.7 bilion, berbanding RM1.5 bilion tahun lepas dengan 8.5 juta penerima terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa Malaysia bakal mendapat bantuan hingga RM650.

Sementara itu, penjawat awam Mohd Fadhli Jobli, 38, berkata penyaluran BKKA dapat menampung perbelanjaannya untuk pulang ke kampung halaman di Samarahan, Sarawak pada Aidilfitri ini.

“Saya ingatkan tiada lagi bantuan kewangan kepada penjawat awam kerana kerajaan telah umumkan kenaikan gaji dan bantuan khas kewangan bulan lepas, tetapi tiba-tiba dapat lagi berita gembira. Jadi, dapatlah mengurangkan beban untuk pulang berhari raya,” katanya.