Sokongan Negara Maju Diperlukan, Kukuhkan Dana Khas Pembinaan Gaza – Syed Ibrahim

Foto: Reuters/ Mohammed Salem

Oleh Ahmad Erwan Othman dan Previnna Thuraisingam

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Iteenews) — Cadangan untuk menubuhkan dan melancarkan dana bagi pembangunan semula Gaza serta Palestin memerlukan penglibatan lebih banyak negara maju selain negara ASEAN serta kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata penglibatan negara maju penting kerana kos pembinaan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan kejam regim Zionis sejak Oktober 2023 dianggarkan mencecah trilion dolar.

"Saya berpendapat sebaiknya ada penglibatan kerjasama banyak negara atau blok negara termasuklah ASEAN dan negara organisasi Brazil, Rusia, India dan China (BRICS).

"Kesatuan Eropah misalnya telah mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan untuk Gaza sebanyak 120 juta euro pada minggu lepas," katanya ketika dihubungi Iteenews hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta, perniagaan, korporat dan rakyat.

Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin berkata semua pihak perlu menyokong usaha murni kerajaan itu supaya lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di Gaza.

"Jika boleh jadikanlah sebagai program sokongan daripada seluruh rakyat, NGO dan swasta supaya lebih banyak kemudahan awam dapat dibangunkan selain projek pertanian dan pembangunan ekonomi," kata Ahli Parlimen Ledang itu.