\’Siuuu\’ Faisal Halim Kembali Bergema, Ledak Hatrik Bantu Selangor Benam KDN

Pemain Selangor FC Faisal Halim menjaringkan gol pertamanya selepas insiden simbah asid yang menimpa dirinya ketika menentang pasukan Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Pemain Selangor FC Ali Iyad Ali Olwan diasak pemain pasukan Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Pemain PDRM FC Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli cuba mengawal bola daripada asakan pemain Sri Pahang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Penjaga gol PDRM FC See Tian Keat beraksi cemerlang menumbuk bola keluar dalam perebutan di udara ketika menentang Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. Pemain import pasukan Perak FC Clayton Da Silveira Da Silva (kiri) diasak Kapten pasukan Negeri Sembilan FC Anas Rahmat pada perlawanan Liga Super Musim 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. Aksi pemain pasukan Perak FC dan pemain Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super Musim 2025/2026 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Iteenews) — Selepas menempuh musim yang ‘panjang’, pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim akhirnya kembali menemui sentuhan jaringan apabila cemerlang meledak hatrik membantu Selangor FC membelasah pasukan tercorot Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada saingan Liga Super 2024/2025 malam ini.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan Faisal Halim menamatkan kemarau jaringan selepas 447 hari (kali terakhir menjaringkan gol ketika menentang PDRM FC musim lalu) apabila beliaudengan tenang menyambut hantaran dari sebelah kiri ketua pasukan Muhammad Safuwan Baharudin untuk memulakan pesta gol Gergasi Merah pada minit ke-13.

Pemain pertahanan Quentin Cheng menggandakan jaringan Selangor menerusi voli dari sudut sukar di sebelah kanan padang pada minit ke-31 sebelum mencipta peluang buat Faisal Halim, yang menjadi mangsa simbahan asid Mei lepas, mencetak gol kedua peribadi pada minit kedua masa kecederaan babak pertama.

Percaturan Katsuhito Kinoshi membawa masuk pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi menggantikan tonggak import Yohandry Orozco pada babak kedua benar-benar mencetuskan impak dengan menjadi arkitek buat tiga lagi gol pasukannya.

Umpanan Mukhairi Ajmal membuka ruang buat pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar menjaringkan dua gol dalam masa singkat, masing-masing pada minit ke-54 dan ke-56, disusuli hantaran dari sebelah kanan yang dimanfaatkan Faisal Halim untuk melengkapkan hatrik pada minit ke-66.

Penyerang gantian Muhammad Aliff Izwan Yuslan tidak mensia-siakan kemunculannya di atas padang apabila bijak menghidu hantaran pemain tengah dari Croatia Nikola Jambor untuk menoktahkan kemenangan besar Selangor sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dengan 46 mata manakala KDN kekal terperosok di tangga terbawah menerusi tujuh mata.

<!––>

Dalam pada itu, dua jaringan penyerang import Kpah Sherman masing-masing pada minit ke-72 dan ke-78 membantu Sri Pahang FC mengutip tiga mata berharga apabila menundukkan tuan rumah PDRM FC 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Terdahulu, tandukan pemain pertahanan dari Argentina Stefano Brundo membuka tirai jaringan buat skuad Tok Gajah pada minit ke-38 manakala jaringan sagu hati skuad ‘The Cops’ disumbangkan Bruno Suzuki tujuh minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Kemenangan keempat Sri Pahang musim ini menyaksikan mereka kini di tangga ke-10 liga dengan 20 mata sementaraPDRM berada di kedudukan kelapan dengan 21 mata.