PUTRAJAYA, 14 Okt (Iteenews) –Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini melalui anak syarikatnya CIDB Holdings SdnBhd melancarkan Sistem CIDBH – iENTRYbagi meningkatkan pengurusan pekerja asing dalam industri pembinaan.
Dalam kenyataan hari ini, CIDB memaklumkan ia juga bertujuan memperkenalkan penggunaan sistem bersepadu dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan kebajikan dan keselamatan pekerja asing berkemahiran.
“Antara ciri utama sistem ini adalah menguruskan pendaftaran pekerja asing melalui sistem biometrik selepas mereka menerima Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) di negara sumber yang diperakui serta disahkan oleh CIDB dan pemantauan kebajikan pekerja asing secara holistik termasuk pengurusan penginapan mereka,” kata CIDB.
Selain itu, iajuga memudahkan majikan dalam mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
CIDB berkatadengan pelaksanaan Sistem CIDBH – iENTRY, pemantauan pekerja asing dan pematuhan perundangan akan menjadi lebih efektif, sekali gus memastikan kesejahteraan dan keselamatan pekerja asing terjamin.
Di samping itu, sistem itu turut membantu kerajaan menangani isu pekerja asing tidak bertauliahdengan memastikan hanya pekerja yang memiliki persijilan sah dibenarkan bekerja di tapak bina dan secara tidak langsung mengurangkan risiko keselamatan di tapak pembinaan.
Mengikut rekod CIDB, terdapat seramai 465,591 pekerja asing pembinaan yang berdaftar dengan CIDB di seluruh negara sehingga September 2024, manakala di Kuala Lumpur dan Selangor sahaja, masing-masing mencatatkan bilangan seramai 150,699 dan 166,456.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sistem itu bermanfaat dalam mengemas kini rekod pekerja asing selain pendataan mereka dapat dipantau dan dilaporkan dengan tepat kepada kerajaan.
"Sistem ini juga dapat memantau hal ehwal kebajikan mereka secara holistik dan menangani isu pekerja asing akan tamat tempoh pas lawatan kerja sementara (PLKS), tinggal lebih masa, pemantauan rekod kesihatan, tempat tinggal, isu sosial serta kebajikan selain membantu majikan.