Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (tengah) menyampaikan replika cek bernilai RM50,000 kepada Pengerusi Masjid Al-Bakri Kuak Hulu, Mohamad Zain Abdul Aziz (kanan) pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu
PENGKALAN HULU, 17 Mac (Iteenews) — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan semua projek yang dilaksanakan di Kampung Kuak Hulu akan siap dalam tempoh yang sewajarnya, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata pihaknya akan sentiasa cakna perkembangan semasa berkenaan projek yang dilaksanakan di kampung itu kerana manfaatnya penting untuk masyarakat di situ.
"Macam gelanggang futsal (yang dinaik taraf) itu untuk kegiatan anak-anak muda, kemudian sekolah tempoh hari yang sedikit sebanyak ada isu keselamatan yang mesti kita selesaikan dalam tempoh paling segera.
"Alhamdulillah,komitmen semua agensi sangat baik dan kita akan terus memastikan bahawaselepas ini yang terkait rapat dengan fasiliti berkenaan akan terus diberikan perhatian," katanya kepada pemberita pada Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu di sinisemalam.
Pada 26 Sept lepas, Fadhlina memaklumkan Kampung Kuak Hulu dipilih untuk penganjuran Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan setelah melakukan penelitian mendalam oleh KPM.
Fadhlina berkata tindakan cakna terhadap perkembangan kampung yang dipilih itu juga antara tujuan Program Santuni MADANI supaya beliau sendiri sebagai pemimpin mengambil maklum perkembangan yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan di kampung berkenaan.
"Kita (KPM) ada mesyuarat setiap bulan untuk memastikan semua proses kerja (naik taraf) itu berlangsung mengikut waktu dan tempoh yang ditetapkan.Pegawai-pegawai kami yang telah bekerja keras untuk memastikan semua perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat September lepas kebanyakannya selesai," katanya.
Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Kampung Kuak Hulu semalam adalahkesinambungan kepada program yang kali pertama diadakan pada September tahun lepas.
Pada program kali ini, Fadhlina mengunjungi bazar Ramadan Pengkalan Hulu untuk beramah mesra dengan masyarakat setempat, sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bertempat di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu di sini.