Saham Perladangan, Kadar FOMC Turun Imbang ketidaktentuan Menjelang Keputusan Pilihan Raya AS 

5c913d5d84999ce007e07a4c3cabb94d5fbf12654b6eb

Oleh NurulJannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Iteenews) — Minat yang dijangka berterusan dalam saham perladangan ketika kenaikan harga minyak sawit mentah dan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengimbangkan potensi turun naik berikutan pilihan raya AS, menstabilkan prestasi Bursa Malaysia minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, permintaan sektor perladangan telah menarik minat pelabur tambahan dan menyokong daya tahan pasaran terhadap cabaran ekonomi global.

Beliau yakin bahawa penurunan yang berlaku baru-baru ini apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut di bawah paras sokongan utama 1,600, menyediakan permulaan yang menarik bagi pelabur jangka masa pendek dan panjang.

"Dengan penilaian yang lebih murah dan isyarat lebihan jualan, terdapat potensi untuk pembelian dan pemulihan," katanya sambil memaklumkan keadaan ini mungkin menyaksikan indeks petunjuk pasaran mencatat arah aliran dalam julat 1,600-1,630 minggu depan.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan menjangka Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) boleh bertindak tegas untuk kekal neutral selepas pilihan raya.

“Walaupun keputusan pilihan raya ini mungkin membentuk sentimen pasaran AS, kami menjangka kesan langsung minimum terhadap pasaran Malaysia kerana sebahagian besar pelabur tempatan mengambil pendirian berhati-hati.

“Sehubungan itu, pendekatan tunggu dan lihat mungkin menguasai dagangan, dengan pelabur di Malaysia memantau teliti reaksi Wall Street dan mempertimbangkan implikasi terhadap dasar ekonomi AS,” katanya.

Konsensus pasaran semasa menjangkakan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas dan penurunan kadar dana persekutuan kepada 4.50-4.75 peratus.