SABAH ANUGERAH PROJEK LSS BERKAPASITI 199MW KEPADA 15 PEMBIDA

5aef90c24d1c2c471aeefb09bcf6ec24675aebf96ca15Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU, 12 Dis (Iteenews) — Majlis Tenaga Sabah (MTS) hari ini meluluskan anugerah projek solar berskala besar (LSS) kepada 15 pembida dengan jumlah kapasiti 199 megawatt (MW) di bawah proses bidaan solar berskala besar (LSS Sabah) 2024 yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata lapan projek berkapasiti 113MW ialah di pantai barat negeri ini, manakala baki tujuh lagi di pantai timur yang berkapasiti 86MW.

“Dengan projek ini dan projek LSS sedia ada yang sedang beroperasi atau sedang dilaksanakan, jumlah LSS (kapasiti) di Sabah akan melebihi 350MW atau 23 peratus daripada kapasiti campuran penjanaan menjelang 2027,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MTS di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji berkata projek-projek itu, yang mengutamakan syarikat berkaitan kerajaan dan tempatan Sabah, dijangka siap menjelang akhir 2026 dan membantu mengurangkan pergantungan kepada subsidi bahan api, terutama di pantai timur.

Ketua Menteri itu juga menyatakan harga bidaan yang ditawarkan adalah kompetitif melalui penyertaan yang menggalakkan dan akan menjadi rujukan untuk projek-projek tenaga masa depan bagi memastikan amalan perolehan terbaik.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Hajiji berkata MTS juga menyokong pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Hidro Sabah (SHDM) selama 10 tahun dari 2028 hingga 2037.

\”Kajian SHDM yang dijalankan oleh ECoS mengenal pasti potensi kuasa hidro berjumlah 1,500MW dan kapasiti ini sebagai tambahan kepada 500MW yang sudah beroperasi atau diluluskan,\” katanya.

Hajiji berkata penjanaan kuasa hidroelektrik berjumlah kira-kira 2,000MW akan menjadi salah satu sumber tenaga utama, mencecah lebih 38 peratus daripada kapasiti campuran penjanaan bagi grid Sabah.