Abu Hassan Alshari Yahaya
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Iteenews) –Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) Abu Hassan Alshari Yahaya.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Mac lepas oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, sebagai antara usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
Abu Hassan Alshari berkata bacaan kedua RUU itu dijadualkan pada sesi parlimen Jun-Ogos akan datang.
"Kami berharap untuk memuktamadkan RUU ini pada suku keempat dan berharap diwartakan menjelang akhir tahun untuk menetapkan tarikh berkuat kuasa akta berkenaan," katanya semasa taklimat media mengenai RUU itu di sini hari ini.
Beliau berkata ketiadaan rangka kerja pengawalseliaan bagi segmen tertentu industri kredit pengguna, menimbulkan risiko pelakuan tidak adil, terutama berikutan pertumbuhan ketara kaedah pembayaran “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (BNPL).
Menurutnya kaedah itu boleh menimbulkan kemudaratan kepada pengguna rentan serta meningkatkan risiko tahap keberhutangan dalam kalangan isi rumah yang tidak terkawal.
Beliau berkata syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank yang memberikan kredit kepada individu, serta perusahaan mikro dan kecil turut tidak terkawal pada masa ini, katanya.
“Rangka kerja kawal selia kredit pengguna semasa Malaysia adalah berbeza-beza dan tidak konsisten memandangkan ia ditadbir oleh beberapa kementerian dan agensi menerusi pelbagai undang-undang berkaitan kredit.
"Pengawalseliaan industri kredit pengguna perlu diseragamkan untuk meningkatkan integrasi dan keterangkuman. Ini akan meningkatkan standard perlindungan pengguna, menjadikannya lebih konsisten dan adil," katanya.