Kredit TH
Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 3 Mei (Iteenews) –Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai sebarang maklumat berkaitan ibadah haji yang disebarkan melalui media sosial, sebaliknya merujuk kepada saluran media rasmi Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Operasi Media TH Mohamad Naser Jaafar berkata langkah itu penting bagi memastikan jemaah haji menerima maklumat yang tepat dan terkini berkaitan pergerakan serta operasi haji sepanjang musim ini.
“Memandangkan terdapat pelbagai platform media sosial pada masa kini, jemaah haji serta rakyat Malaysia disarankan untuk hanya mengikuti saluran media yang diiktiraf bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.
"Ini termasuk maklumat menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Iteenews), TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM)dan media sosial rasmi TH,” katanya kepada media di Ibu Pejabat TH Makkahdi sini.
Mohamad Naser memberi jaminan bahawa liputan menyeluruh dan maklumat terkini akan sentiasa disampaikan oleh TH, termasuk mengenai pergerakan jemaah, ibadah, bimbingan, logistik serta aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang musim haji ini.
Mengenai operasi liputan media bagi musim haji tahun ini, beliau berkata ia dijangka mengambil masa selama 52 hari, merangkumi keseluruhan perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci, termasuk ketika jemaah berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.
Beliau berkata kemuncak liputan adalah pada hari wukuf yang dijangka 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjahdan setelah selesai keseluruhan manasik atau tatacara pelaksanaan haji, tumpuan seterusnya adalah berkaitan pergerakan pulang jemaah ke tanah air.
"Ini dijangka berlaku dalam tempoh seminggu selepas ibadah kemuncak haji selesai,” katanya.