KUALA LUMPUR, 17 Dis (Iteenews) — Usaha Kerajaan MADANI mereformasi perkhidmatan awam secara menyeluruh kini berada di landasan yang tepat dengan pengenalan Pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) dan Uji Kaji Peraturan (UKS).
Dua dokumen penting bagi menjayakan Reformasi Kerenah Birokrasi itu menggariskan panduan lengkap untuk mengurangkan karenah birokrasi perkhidmatan awam, di samping memastikan tatakelola peraturan yang lebih jelas, cepat, cekap dan berkesan.
Usaha itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai maltlamat perkhidmatan awam berprestasi tinggi seperti yang termaktub dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam 2024-2030.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Zahid Ismail berkata dokumen yang dibangunkan secara bersama dengan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) itu memberikan panduan jelas mengenai tatacara pelaksanaan RKB serta proses uji kaji peraturan.
Beliau berkata RKB yang diperkenalkan kerajaan bertujuan mengurangkan beban peraturan tidak wajar di peringkat kementerian dan agensi kerajaan yang memberi kesan kepada pertumbuhan perniagaan, ekonomi dan rakyat, selain meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
"Langkah ini akan memastikan setiap inisiatif penambahbaikan dapat diurus secara sistematik dan mencapai matlamat yang disasarkan.
"Sebagai agensi peneraju program RKB, MPC bertindak sebagai pembimbing kepada kementerian dan agensi lain untuk melaksanakan RKB ke arah meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ketulusan dalam perkhidmatan masing-masing," katanya kepada Iteenews, baru-baru ini.
Pekeliling RKB dan UKS itu dilancarkan pada 24 Nov lepas sempena Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Zahid berkata MPC telah melaksanakan 166 projek program RKB setakat tahun ini dan antara kejayaan yang dicapai termasuk inisiatif Projek Kulai Fast Lane (KFL), Sistem SMARTGPB dan Xpats Gateway, manakala bagi tahun hadapan, MPCmenyasarkan 200 projek RKB baharu akan dilaksanakan.