Ringgit Tinggi Berbanding Dolar AS Selepas FOMC Cenderung Turunkan Kadar Faedah

047d44cf51ec16ec109b862881256879677285438f18e

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Iteenews) –Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS cenderung kepada penurunan kadar faedah susulan inflasi.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4200/4305 berbanding dolar AS daripada 4.4330/4400 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata FOMC memutuskan kadar faedah dikekalkan dan memperlahan kadar pengurangan lembaran imbangannya daripada US$25 bilion kepada US$5 bilion.

Beliau berkata perkara itu menandakan kecenderungan Rizab Persekutuan AS (Fed) kepada kadar faedah rendah.

“Semasa sidang media, Pengerusi Fed Jerome Powell menyatakan inflasi yang didorong tarif mungkin bersifat sementara. Beliau juga mengakui peningkatan risiko kemelesetan namun menegaskan risiko itu tidak berada pada tahap yang membimbangkan.

“Unjuran suku tahunan yang disertakan menunjukkan Kadar Dana Fed masih berada pada landasan untuk dua pengurangan suku mata tahun ini, dengan pengurangan tambahan dijangka pada 2026 dan 2027," katanya kepada Iteenews.

Mohd Afzanizam berkata dalam keadaan itu, pasaran ekuiti telah meningkat secara berterusan manakala hasil Perbendaharaan AS menurun.

“Ini sepatutnya menjadi faktor positif bagi ringgit, kerana Fed telah menunjukkan keyakinannya bahawa ekonomi AS mampu bertahan dalam ketidakpastian yang tinggi ekoran langkah dasar yang tidak menentu oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.