Ringgit Diunjur Cecah RM4.45 Berbanding Dolar AS Menjelang Akhir Tahun – Ahli Ekonomi

b55920e5407a76b0952490f387919f08679327287f576Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Iteenews) –Ringgit dijangka bergerak mendatar, dengan unjuran bagi akhir tahun pada RM4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata pihaknya yakin ekonomi Malaysia mempunyai ruang yang mencukupi untuk berkembang dalam tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus mengekalkan ringgit pada kedudukan yang agak baik berbanding mata wang serantau.

Beliau berkata selain itu, kitaran pelaburan sedang berlaku, yang boleh menjana pertumbuhan lebih positif dan produktiviti lebih tinggi pada masa depan, berbeza dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh ekonomi utama dan serantau lain.

“Sehubungan itu, kami berpendapat ringgit terus disokong dengan baik oleh prospek domestik yang positif,” katanya pada taklimat Prospek Makroekonomi anjuran Ambank Group di sini, Jumaat.

Dari segi monetari, komitmen Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras yang dianggap akomodatif, beserta dengan laluan pelonggaran Rizab Persekutuan AS (Fed) yang lebih perlahan daripada dijangkakan, sewajarnya mengekalkan perbezaan hasil yang agak terhad.

Firdaos berkata senario itu menjadi petanda baik bagipotensi kenaikan ringgit, terutama apabila mengambil kira metrik penilaian.

Beliau berkata ringgit masih terkurang nilai berdasarkan Kadar Pertukaran Efektif Sebenar (REER) dan belum kembali kepada nilai sebelum pandemik.

“Walaupun jika kita bandingkan paras semasa dengan purata prestasi sebelum ini iaitu sekitar 3.80 berbanding dolar AS (era ketika ringgit tidak lagi ditambat sejak 2004/2005), masih ada ruang untuk ringgit meningkat,” katanya.

Beliau berkata satu lagi peluang khusus yang boleh mengukuhkan mata wang tempatan adalah kemungkinan penukaran hasil eksport.