Ringgit Dibuka Tinggi Susulan Jangkaan Impak Terhad Daripada Tarif AS

8800934c007ed4dd2a3fae81273908ce67e0b5b1e0846Ringgit

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 24 Mac(Iteenews) — Ringgit dibuka tinggi hari ini berikutan jangkaan Malaysia akan menjadi antara negara yang paling kurang terjejas oleh pelaksanaan tarif timbal balas kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada 2 April berdasarkan negara dilihat mempunyai antara kadar tarif terendah.

Pada 8 pagi, ringgit naik kepada 4.4155/4230 berbanding dolar AS daripada 4.4180/4220 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit diniagakan tinggi pada sesi pagi ini berikutan peserta pasaran menunggu pelaksanaan tarif oleh kerajaan AS.

“Peserta pasaran akan meneliti butiran mengenai tarif timbal balas itu dan bagaimana ia akan memberi impak kepada ekonomi setiap negara.

“Terdapat kebimbangan bahawa tarif mungkin menyebabkan pertumbuhan perlahan, memerlukan respons dasar yang cepat daripada bank-bank pusat global sebagai langkah pertahanan pertama untuk mengekalkan pertumbuhan.

“Pemikiran sedemikian akan menjana sentimen defensif dalam kalangan peniaga dan pelabur, meningkatkan permintaan terhadap mata wang selamat (AS),” katanya kepada Iteenews hari ini.

Merujuk data daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),Afzanizam berkata negara-negara seperti India, Bangladesh dan Korea Selatan, masing-masing mempunyai purata kadar tarif sebanyak 17.1 peratus, 14.1 peratus dan13.4 peratus berbanding Malaysia sebanyak 5.6 peratus.

“Sehubungan itu, Malaysia boleh menjadi antara negara yang paling kurang terjejas,” katanya.