Pengurus Bahagian Mesin Teler Automatik (ATM) Emas Public Gold, Denise Tang menunjukkan pelbagai reka bentuk jongkong emas ketika ditemui Iteenews dalam temubual di Wisma Public Gold, Bayan Lepas.
Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 29 Sept (Iteenews) — Syarikat logam berharga, Public Gold Groupmerancang untuk menyediakan 200 Mesin Teler Automatik (ATM) emas menjelang akhir 2025 bagi memudahkan orang ramai mendapatkan emas.
Pengurus Bahagian ATM Emas Public Gold, Denise Tang berkata ketika ini terdapat 100 mesin ATM emas atau dikenali sebagai “Public Gold ATM” di seluruh negara, justeru,rancangan itu sejajar dengan peningkatan permintaan produk emas fizikal, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata pihaknya juga merancang untuk menyediakan 50 ATM emas di Indonesia menjelang tahun hadapan dengan menawarkan pelbagai reka bentuk popular tempatan.
Perolehan daripada jualan jongkong emas di 100 ATM emas itu mencecah sekitar RM10 juta sejak Januari hingga sekarang, katanya kepada Iteenews dalam temubual di Wisma Public Gold, Bayan Lepas di sini.
“Ketika ini 100 ATM emas ditempatkan di lokasi strategik tumpuan orang ramai seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang. Kami mendapat permintaan yang baik daripada pelangan yang mahu membeli emas menerusi ATM.
“Orang ramai boleh membeli emas pada bila-bila masa kerana ATM itu beroperasi 24 jam sehari dan ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan terbaik serta tinggi, jadi pengguna tidak perlu bimbang mengenainya,” katanya.
Public Gold ATM menawarkan jongkong emas berketulenan 999.9 dengan berat emas antara 0.25 gram sehingga lima gram dan kemudahan itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ATM pertama yang mengeluarkan produk emas fizikal di negara ini.
Beliau berkata ATM emas itu disediakan untuk menggalakkan rakyat Malaysia menyimpan emas sebagai simpanan jangka masa panjang selain jongkong emas Public Gold juga boleh dijadikan sebagai hadiah atau cenderamata.