KUALA LUMPUR, 11Mac (Iteenews) –Sebanyak 18,181 kematian akibat pneumonia pneumokokus dilaporkan di Malaysia tahun lalu, namun masih ramai yang menganggapnya sekadar komplikasi ringan influenza.
Hakikatnya, pneumonia pneumokokus ialah jangkitan paru-paru serius yang boleh mengancam nyawa, disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae.
Pengerusi Yayasan Paru-Paru Malaysia Profesor Dr Roslina Abdul Manap berkata berdasarkan Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2024, pneumonia telah mengatasi penyakit jantung sebagai punca utama kematian di Malaysia buat pertama kali dalam lebih dua dekad. Namun, penyakit ini masih kurang mendapat perhatian.
Beliau berkata dengan populasi warga emas Malaysia dijangka meningkat kepada 23.4 peratus menjelang 2050 berbanding 11.6 peratus tahun lalu, perubahan demografi ini memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan awam.
"Warga emas lebih mudah terdedah kepada jangkitan pernafasan teruk, termasuk pneumonia pneumokokus. Penyakit ini amat berbahaya kerana sistem imun mereka semakin lemah seiring usia, selain gejalanya mungkin tidak begitu ketara berbanding individu lebih muda," katanya.
Dr Roslina menjelaskan, keadaan ini boleh menyebabkan kelewatan dalam diagnosis dan rawatan, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius, kemasukan ke hospital, dan kematian.
"Walaupun seseorang itu kelihatan sihat, mereka masih berisiko dijangkiti pneumonia pneumokokus. Ini kerana seiring peningkatan usia, sistem imun menjadi semakin lemah, menyebabkan tubuh lebih sukar melawan jangkitan.
"Apabila bakteria ini menyerang paru-paru dan aliran darah, ia boleh menyebabkan penyakit serius. Warga emas berdepan risiko lebih tinggi mengalami komplikasi teruk dan kematian akibat pneumonia pneumokokus berbanding golongan muda," katanya dalam kenyataan kepada Iteenews.
Beliau berkata individu yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, atau masalah paru-paru kronik, serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan, turut berisiko tinggi.