Oleh Arul Rajoo Durar Raj
LONDON, 15 Jan (Iteenews) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara United Kingdom (UK) hari ini untuk lawatan kerja selama lima hari ke negara yang merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Stansted pada pukul 10.50 malam waktu tempatan, Selasa(6.50 pagi Rabu, waktu Malaysia) dari Abu Dhabi, selepas beliau menamatkan lawatan tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketibaan beliau di lapangan terbang disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar,Atase Pertahanan Datuk Brig. Jeneral Safwan @ Asri Ismail, serta Wakil Khas Setiausaha Hal Ehwal Luar Negeri Richard Wildash danKuasa Usaha, Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur David Wallace.
Lawatan ini, atas jemputan rakan sejawatnya Keir Starmer, merupakan kunjungan pertama Anwar ke UK sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Sepanjang lawatan berkenaan, Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada Rabu, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Starmer untuk menilai kemajuan hubungan bilateral Malaysia-UK dan membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan.
Mereka juga dijangka membincangkan perkaraberkaitan pendidikan tinggi, perubahan iklim dan tenaga boleh dibaharui, agrokomoditi dan pelancongan.
Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka menyentuh mengenai isu serantau dan antarabangsa serta bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan UK sebagai rakan dialog ASEAN.