PM Anwar Akan Lakukan Lawatan Kerja Ke UK

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 14 Jan(Iteenews) –Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Eropah, sebaik sahaja menamatkan lawatan kerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar berkata lawatan Anwar ini adalah atas jemputan rakan sejawatan Keir Starmer yang memegang jawatan Perdana Menteri sejak Julai, 2024.

“Lawatan ke UK kali ini merupakan lawatan pertama semenjak menjadi Perdana Menteri. Ini juga merupakan lawatan ke negara Eropah pertama oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN,” katanya.

Bercakap pada sidang media di pejabat beliau di siniZakri berkata,lawatan ini dijangka memberikan nafas baharu di samping memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan UK yang mencakupi pelbagai bidang.

Beliau berkata ia turut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneroka inisiatif-inisiatif baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan susulan penyertaan UK dalamComprehensive and Progressive for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).

Perdana Menteriyang dijangka tiba di sini pada pukul 10 malam Selasa (6 pagi Rabu di Malaysia) dari Abu Dhabi, akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Zakri berkata pada hari Rabu, Anwar akan bertemu dengan Starmer di No.10, Downing Street, dan perbincangan kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh pelbagai isu dua hala, serta situasi di Myanmar dan Palestin.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Starmer telah menggantung penjualan beberapa senjata kepada Israel di samping meminta supaya bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat dipercepatkan.