Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik
KUALA LUMPUR, 25 Feb (Iteenews) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sedang menilai langkah penyusunan semula saiz tenaga kerjanya yang turut melibatkan pendekatan daripada peringkat tertinggi hingga peringkat terendah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata syarikat itu berhasrat untuk memuktamadkan strategi penyusunan semula saiz tenaga kerjanya menjelang pertengahan 2025.
"Pada separuh kedua tahun ini, anda akan menyaksikan struktur organisasi ini dilaksanakan secara berperingkat. Saya ingin menegaskan bahawa langkah ini tidak bertujuan untuk mengurangkan pekerjaan sebanyak 15,000 hingga 16,000," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 hari ini, beliau menafikan dakwaan bahawa langkah penyusunan semula ini akan memberi keutamaan kepada pengurusan atasan sehingga menjejaskan pekerja lain.
Menurutnya penyusunan semula ini akan membabitkan seluruh peringkat.
"Sebahagian pihak mengatakan ini merupakan langkah perlindungan, dengan pengurusan atasan akan dilindungi manakala mereka yang tidak mempunyai kuasa dalam keputusan berkenaan akan terkesan jika kami memutuskan pelaksanaan penyusunan semula ini.
“Kumpulan pertama yang akan terkesan adalah daripada pihak pengurusan dan seterusnya," katanya.
Mengulas kebimbangan mengenai langkah mengurangkan pekerjaan, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk memberhentikan pekerja secara besar-besaran.
"Seperti yang dilaporkan banyak pihak, kami mempunyai 15,000 hingga 16,000 'pemangkin' yang merangkumi semua fungsi sokongan. Adakah anda membuat kesimpulan bahawa laporan yang mendakwa saya akan menghapuskan 16,000 (pekerjaan) itu tepat?