Pertumbuhan KDNK Malaysia 5.1 Peratus Perlihat Daya Tahan Dalam Ketidaktentuan Global 

61a2e0df645ead9dbb26e4a01695f2555e1825599efa0Kuala Lumpur

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Iteenews) — Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2024 pada 5.0 peratus yang menyumbang pengembangan setahun penuh 5.1 peratus, mencerminkan ekonomi berdaya tahan yang memanfaatkan kekuatan domestik dalam keadaan ketidaktentuan global.

Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata pertumbuhan ini disumbangkan oleh beberapa faktor utama seperti pasaran buruh yang kukuh dengan kadar pengangguran 3.1 peratus dan inflasi terkawal 1.8 peratus.

Menurutnya keadaan ini telah menyokong penggunaan swasta, yang dapat dilihat menerusi peningkatan pembayaran kad kredit.

"Walaupun terdapat perubahan dari segi penawaran seperti penyesuaian kadar air, semakan semula cukai perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi diesel, inflasi kekal rendah, justeru membuktikan pengurusan ekonomi dan fiskal yang berkesan tanpa menghalang pertumbuhan," katanya kepada Iteenews.

Pertumbuhan KDNK setahun penuh ini adalah seiring dengan unjuran awal AmBank Group.

Firdaos berkata langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus telah mewujudkan persekitaran kewangan yang stabil, yang memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

"Kami mengunjurkan ia kekal stabil dalam tempoh yang belum ditetapkan," katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata trajektori pertumbuhan Malaysia pada 2025 — yang diunjurkan AmBank Group sebanyak 4.6 peratus — akan bergantung kepada keseimbangan daya tahan domestik dengan cabaran luaran.