Pertumbuhan KDNK Dijangka Lebih Tinggi Daripada Unjuran BNM

108bcb19ef55ce4dbb8b7af378e3c223633d6545a822f

KUALA LUMPUR, 29 Julai(Bernama) –Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencapai tahap tertinggi daripada yang disasarkan antara empat hingga lima peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024, menurut Penyelidikan Perbendaharaan dan Pasaran CIMB.

Ini berikutan peningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun dalam anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2024, kata bank tersebut dalam satu nota penyelidikannya hari ini.

CIMB berkata faktor-faktor seperti pasaran buruh yang teguh, perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan yang berterusan, peningkatan dalam realisasi pelaburan langsung asing (FDI), pemulihan perdagangan dan peningkatan pelancongan merupakan penyumbang utama kepada kekuatan ekonomi negara.

Selain itu, ringgit telah menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang asing yang lain, kerana tindakan yang diselaraskan telah mengurangkan tekanan daripada perbezaan kadar, perkembangan global, dan risiko geopolitik.

“BNM telah memantau aliran tukaran mata wang dua hala yang lebih sihat, disokong oleh pendapatan pelaburan dan penukaran dalam eksport, serta fleksibiliti pantas untuk korporat melabur keluar negara. Ini menegaskan bahawa campur tangan adalah dipacu pasaran dan bukannya permulaan kepada kawalan modal," katanya.

Sementara itu, CIMB menekankan bahawa Malaysia sedang menghalakan kecairan ke arah pelaburan untuk merangsang pertumbuhan. Syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dijangka memperuntukkan antara RM400 bilion dan RM500 bilion ke dalam pelaburan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelaburan ini adalah penting untuk membangunkan insentif dan ekosistem serantau, seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Forest City dan pelbagai projek-projek taman perindustrian.

Pelaburan ini juga akan memudahkan penyelarasan pembiayaan dengan projek-projek dan memperluaskan manfaat FDI melalui rantaian bekalan dalam negara.

CIMB menambah pelaksanaan pembaharuan dan dasaryang lebih kukuh untuk asas-asas domestik Malaysia berkemungkinan akan meningkatkan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysiayang mempunyai sasaran 12 bulan kepada 3.75-3.80 peratus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *