Peniaga, Khairruni Ahmad Zabidi, 64 (kanan) melayan pelanggan yang mengunjungi gerai kuih raya miliknya di sini.
Antara jenis kuih raya yang dijual di gerai milik Khairruni Ahmad Zabidi, 64, di sini
Oleh Razif Rosli
IPOH, 20 Mac (Iteenews) — Peristiwa meruntun hati apabila pelanggan tidak dapat memenuhi permintaan anak kerana tidak cukup duit menjadi pendorong kepada seorang peniaga untuk menjual kuih raya pada harga serendah RM6 sebekas.
Khairruni Ahmad Zabidi, 64, berkata idea untuk menjual biskut raya pada harga murah tercetus setelah berbincang dengan anaknya Norhidayu Abdullah, 34, berikutan insiden yang menyentuh hati itu.
Menurutnya, lebih 100 jenis biskut raya yang dibuat bersama kakaknya Suhairah Ahmad Zabidi, 66, dan Norhidayu dijual di gerainya di lot parkir stesen minyak Shell, Jalan Raja Ashman di sini.
"Biasalah pelanggan bila bawa anak-anak, ada anak yang peluk terus balang biskut namun oleh kerana harganya sekitar RM28 hingga RM35 sebalang, pelanggan tidak mampu nak bayar biskut yang dimahukan.
“Jadi saya jual biskut serendah RM6. Jika pelanggan ada RM50 dengan biskut raya rahmah ini mereka boleh dapat hingga lapan bekas,” katanya ketika ditemui Iteenews di sini hari ini.
Khairruni berkata walaupun kuantiti dalam satu bekas mengandungi 18 hingga 20 kuih, yang penting semua berpeluang membeli dan melakukan persiapan hari raya biarpun keuntungannya tidak seberapa.
Katanya, ini merupakan tahun kedua jualan kuih raya dengan harga rahmah dijalankan dan sejak 15 Mac lepas, kira-kira 7,500 bekas telah terjual antaranya biskut mazola, tart nenas, almond london, biskut nestum dan gandum, rempeyek dan banyak lagi.
"Semua biskut yang dihasilkan diadun sendiri dengan bantuan 15 pekerja dalam kalangan ibu tunggal untuk kita bantu jana pendapatan mereka.