Penglibatan PM Muktamadkan Rundingan Kerjasama Strategik MIDA-Arm Holdings

6e2039e6daa6f017b7059c05431d4fcf67c8427abec56

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Iteenews) — Rundingan antara Malaysia dan Arm Holdings Plc yang telahpun dimuktamadkan, merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem semikonduktor negara serta mempercepat pembangunan teknologi tempatan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan IndustriTengku Datuk Seri Zafrul Abdul Azizberkatakejayaan rundingan ini adalah hasil usaha berpasukan yang melibatkan beberapa kementerian utama, termasuk Kementerian Ekonomi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Kewangan dan beberapa agensi berkaitan.

“Kerjasama ini selari dengan strategi semikonduktor negara merangkumi keseluruhan rantaian bekalan daripada reka bentuk litar bersepadu (IC design) sehingga ke fabrikasi wafer.

“Ini adalah langkah pertama dalam membangunkan keupayaan tempatan dalam IC design, pembungkusan maju (advanced packaging), serta mesin dan peralatan fabrikasi,” katanya kepada Iteenews selepas majlis Perkongsian Strategik dalam Industri Semikonduktor yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar memberitahu Malaysia akan melabur US$250 juta dalam dekad akan datang, memanfaatkan kepakaran Arm untuk mewujudkan ekosistem baharu dalam industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor melalui kerjasama strategik antara kedua-duanya.

Mengenai pemilihan Armsebagai rakan strategik, Tengku Zafrul menjelaskan syarikat itu memiliki kepakaran dalam reka bentuk teknologi dan hak harta intelek (IP), dengan 80 hingga 90 peratus pasaran global bergantung kepada teknologi mereka untuk sektor-sektor seperti automotif dan mudah alih.

Sementara itu, mengulas mengenai perbandingan antara kerjasama Malaysia-Arm dan Malaysia-Brazil, beliau berkata kedua-dua inisiatif itu mempunyai pendekatan yang berbeza.

Kerjasama antara Malaysia dan Brazil dalam industri semikonduktor merupakan susulan mesyuarat industri semikonduktor antara kedua-dua negara pada November 2024 yang dihadiri oleh Anwar sebagai sebahagian daripada rangka lawatan rasmi beliau ke Brazil.