Kredit: DOSM
KUALA LUMPUR, 12 Dis (Iteenews) — Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 20.6 peratus pada Oktober 2024 kepada 38,400 tan berbanding 31,847 tan pada September 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kata jabatan itu, terbitan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia untuk Oktober 2024 menunjukkan perbandingan tahun ke tahun iaitu pengeluaran getah asli meningkat 16.6 peratus berbanding 32,944 tan pada Oktober 2023.
\”Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.6 peratus) berbanding sektor estet sebanyak 11.4 peratus,\” kata DOSM.
Menurutnya, jumlah stok simpanan getah asli pada Oktober 2024 meningkat 1.9 peratus kepada 134,844 tan berbanding 132,391 tan pada September 2024.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,151 tan pada Oktober 2024, meningkat 20.6 peratus berbanding 39,930 tan pada September 2024.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 43.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2024 diikuti Jerman (9.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), Amerika Syarikat (4.8 peratus) dan Portugal sebanyak 2.8 peratus.
Menurut DOSM, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
Katanya, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Oktober 2024, meningkat 21.8 peratus berbanding RM1.2 bilion pada September 2024.