A. Subatra Adacapan
Mohammad Syafiq Mohd Akhir
Firdaus Mat Radzi
Oleh Fadzlina Abu Bakar Sidek
IPOH, 5Jun (Iteenews) –Kemahiran berinteraksi dengan masyarakat, bekerja di bawah tekanan, memiliki pengetahuan luas dalam pelbagai isu serta bijak mengurus masa merupakan antara kelebihan yang dimiliki oleh seorang wartawan.
Kerjaya kewartawanan yang sering terikat dengan had masa dan keperluan menyampaikan berita secara segera melatih seseorang untuk mengurus masa dengan lebih berkesan, suatu kemahiran yang sangat berguna dalam pembinaan kerjaya, terutamanya jika ingin menceburi bidang lain.
Bagi A. Subatra Adacapan, 37, yang kini bertugas sebagai Pegawai Eksekutif di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Ipoh, Perak, pengalaman selama 11 tahun sebagai wartawan di dua akhbar berbahasa Tamil serta portal Free Malaysia Today banyak membantu dalam kerjayanya sekarang.
“Apabila berhadapan dengan orang ramai di Perkeso, ia bukan lagi satu cabaran kerana saya sudah biasa berinteraksi dengan masyarakat.
“Selain itu, pemahaman saya mengenai hala tuju negara dari segi ekonomi, sosial dan politik semasa menjadi wartawan membantu saya menjadi penjawat awam yang lebih selari dengan dasar negara,” katanya kepada Iteenews.
Ibu kepada dua anak itu turut berkata ilmu dan pengetahuan yang diperoleh semasa menjadi wartawan membantunya memahami masalah rakyat serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencarum dengan Perkeso.
Sementara itu, Mohammad Syafiq Mohd Akhir, 33, yang kini bergiat dalam perniagaan jualan dan perkhidmatan, berkata pengalaman lima tahun sebagai wartawan penyiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak telah mengubah personalitinya daripada seorang yang pendiam kepada individu yang lebih terbuka dan gemar berinteraksi.
“Kini saya lebih yakin berinteraksi dengan pelanggan kerana pengalaman sebagai wartawan mengajar saya berdepan dengan pelbagai ragam manusia.