Daripada M. Saraswathi
LIMA (Peru), 11 Nov(Iteenews) — Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 bakal bermula minggu ini dengan agenda perbincangan barisan pemimpin dan menteri menyentuh aspek dasar dalam membolehkan 21 ekonomi anggotanya menangani pelbagai cabaran semasa.
Antara tumpuan Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW)itu adalahperubahan iklim, penyelesaian tenaga mampan, peralihan ekonomi digital dan usaha memudah cara perdagangan selain menggalakkan usaha inovasi dan keterangkuman.
Bertemakan “Empower. Include. Grow,” tumpuan perbincangan akan merangkumi perdagangan dan pelaburan bagi pertumbuhan kesalinghubungan, inovasi dan pendigitalan bagi menggalakkan peralihan kepada ekonomi formal dan global serta pertumbuhan mampan untuk pembangunan yang berdaya tahan.
“Sebagai tuan rumah tahun ini, Peru mempunyai peluang besar bagi menerajui dialog ke arah isu yang berkepentingan kepada rakyat di rantau itu, menumpukan kemampanan, daya tahan dan keterangkuman digital,” kata Duta Carlos Vasquez yang juga Pengerusi Pegawai KananAPEC2024.
Dalam kenyataan pada Ahad, beliau juga menyifatkan peranan Peru selaku tuan rumah APEC sebagai menekankan komitmen negara itu bagi mengukuhkan kerjasama pelbagai hala serta menjadipemain utama dalam penetapan agenda untuk rantau Asia Pasifik.
“Usaha kita bagi memacu perdagangan dan pelaburan selain agenda yang menumpukan pertumbuhan di APEC juga semakin mendapat momentum.
“Kalangan anggota APEC menyedari bahawa usaha memupuk norma dan dasar ekonomi baharu boleh memacu keterangkuman serta mewujudkan program-program berimpak yang menepati keperluan harian komuniti kita,” katanya.
Komitmen APEC terhadap kerjasama selain tumpuan strategik ke atas daya tahan dan pertumbuhan mampan, turut mengetengahkan platform bagi mencapai hasilbermakna selain berupayamenangani keperluan tiga bilion penduduk rantau itu.