Pembongkaran GISBH Gemparkan Negara, Dikaitkan Dengan Al-Arqam

Beberapa premis perniagaan dipercayai di bawah kelolaan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Ipoh ditutup.

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Iteenews) — Tiga dekad selepas ajaran Al-Arqam diisytiharkan sesat pada 1994, negara sekali lagi digemparkandengan pendedahan membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), sebuah organisasi yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.

GISBH, yang terkenal dengan rangkaian perniagaannya yang meliputi restoran, hotel, klinik dan pusat tahfiz, menjadi tumpuantahun ini,selepas serbuan mendedahkan penemuan buku-buku yang berkaitan dengan ajaran Al-Arqam.

Pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan eksploitasi, penderaan, dan jenayah lain berdasarkan laporan individu yang mendakwa menjadi mangsa.

Menyingkap kontroversi GISBH, isu berkenaan mula menjadi perhatian selepas Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kegiatan ajaran sesat yang didakwa berlaku membabitkan syarikat itu pada 16 Ogos.

Susulan itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membangkitkan isu keganasan dan kekejaman yang didakwa berlaku dalam GISBH dan menggesa siasatan dan campur tangan pihak berkuasa.

Berdasarkan laporan dan risikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan fasa pertama Op Global pada awal September, denganmelakukan serbuan ke atas 20 rumah kebajikan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Operasi yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa, termasuk pihak berkuasa agama, membawa kepada penahanan 171 individu bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak dan eksploitasi agama.

Sebanyak 402 individu, terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 17 tahun, turut diselamatkan. Antara mereka, terdapat 10 kanak-kanak kurang upaya, termasuk autisme.

Kanak-kanak yang diselamatkan dibawa ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Hasil pemeriksaan mendapati 392 daripada mereka menunjukkan tanda-tanda pengabaian dan penderaan, termasuk kesan kecederaan fizikal dan emosi.