PEMBANGUNAN RANGKAIAN REL KERETA API MALAYSIA-CHINA DIHARAP DAPAT DIREALISASIKAN DALAM TEMPOH TERDEKAT – LOKE

bad2d06788bd52efb7a6cf2c1a2afdcf6761384857ef3

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Iteenews) — Kementerian Pengangkutan berharap perancangan pembangunan rangkaian rel kereta api yang menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat, kata menterinya, Anthony Loke.

Beliau berkata walaupun rancangan itu masih di peringkat awal, kementerian berhasrat untuk mempercepatkan usaha berkenaan dalam usaha memanfaatkan hubungan serantau.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra semalam turut membincangkan kepentingan pembinaan infrastruktur rel.

\”Jika dilihat pada kenyataan bersama Malaysia dan Thailand semalam, ada rujukan mengenai usaha untuk meningkatkan lagi hubungan rangkaian rel dan jalan raya.

\”Sememangnya kita mahu membina hubungan yang lebih baik dengan Thailand, khususnya dalam aspek rangkaian rel.

\”Jika kesalinghubungan dengan Thailand dapat diperkukuh dan Thailand pula berhubung dengan Laos serta seterusnya China, ia pasti membantu merealisasikan rangkaian rel Pan Asia,\” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Hairil Yahri Yaacob, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Anwar dan rakan sejawatnya dari Thailand semalam telah mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepatkan kemajuan dalam cadangan rangkaian rel berkembar antara Ipoh-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai serta penjajaran kereta api berkelajuan tinggi di kedua-dua negara.

Ia selaras dengan aspirasi bersama mempromosikan hubungan lebih erat dan meningkatkan aliran rentas sempadan bagi barangan serta penumpang antara Malaysia dan Thailand, seterusnya di seluruh rantau ini.