PETALING JAYA, 12 Sept(Iteenews) — Pemaju hartanah yakin prospek sektor itu bagi separuh pertama 2025 lebih baik berbanding separuh kedua 2024, didorong oleh urus niaga dari tahun sebelumnya dan peningkatan kos bahan binaan.
PresidenPersatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda)Datuk Ir Ho Hon Sang berkata sentimen pasaran tahun ini dilihat agak lembap berikutan pemaju mengambil pendekatan berhati-hati, tunggu dan lihat untuk menilai keadaan industri pada 2025.
"Pemaju masih berhati-hati dengan operasi perniagaan mereka, walaupun keadaan industri bertambah baik dari segi pelancaran dan jualan. Mereka ingin tahu apakah insentif atau dorongan daripada Belanjawan 2025 akan datang (yang akan dibentangkan pada 18 Okt) akan memacu pasaran hartanah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat media pada TinjauanIndustri Hartanah bagi separuh pertama 2024 dan TinjauanPasaran bagi separuh kedua 2024 dan separuh pertama 2025 hari ini.
Ho berkata kerajaan juga menggesa agar lebih banyak rumah mampu milik didirikan, sambil menambah bahawa Rehda telah mencadangkan pembentukan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak berkuasa kerajaan dan Rehda untuk menilai permintaan sebenar untuk rumah mampu milik.
"Penilaian itu adalah bagi mengkaji permintaan sebenar untuk rumah mampu milik berdasarkan data dan statistik, dengan mengambil kira sasaran pembeli, lokaliti, jumlah unit dan masa," katanya.
Pada taklimat itu, Ho memaklumkan 162 ahli Rehda di Semenanjung yang terlibat dalam tinjauan itu melaporkan berlaku peningkatan kos perniagaan bagi seperuh pertama 2024 berbanding separuh kedua 2023.
Selain itu, sebanyak 69 peratus pemaju menghadapi cabaran pembinaan disebabkan oleh harga bahan yang tinggi, kekurangan dan bekalan bahan binaan yang tidak konsisten, kenaikan gaji dan kekurangan pekerja mahir.
Bahan binaan seperti pasir, kaca dan konkrit mengalami kenaikan harga tahunan sebanyak 13 hingga 15 peratus pada 31 Jun 2024.